BOLKIAH GARISON, Khamis 15 Mei 2014 - Majlis Penyerahan Bendera bagi Kontinjen Kementerian Pertahanan yang akan menyertai Kejohanan Pesta Sukan Kementerian-Kementerian 2014 (PSKK 2014) telah berlangsung petang ini di Dewan Gerak Badan, Bolkiah Garison.

Pada tahun ini, Kementerian Pertahanan menghantar seramai 277 atlet yang akan menyertai sepuluh jenis sukan yang dipertandingkan bermula pada 17 Mei 2014 hingga 24 Mei 2014.

Kontinjen Kementerian Pertahanan yang di ketuai oleh Awang Haji Azhar bin Haji Ahmad, Timbalan Setiausaha Tetap (Teknologi) akan menyertai sebanyak 10 acara sukan iaitu Olahraga, Bulu Tangkis, Lumba Basikal, Futsal, Bola Jaring, Pentanque, Sepak Takraw, Ten Pin Bowling, Gasing dan Tarik Kalat.

Sebanyak 331 pingat bakal menjadi rebutan, dengan 108 adalah pingat emas, 108 pingat perak dan 115 pingat gangsa. Kementerian Pertahanan akan mengambil bahagian dalam semua acara-acara sukan tersebut.

Mengimbas kembali pencapaian PSKK bagi Kementerian Pertahanan, pada tahun 2011 dan 2012 Kementerian Pertahanan pernah menjadi juara keseluruhan PSKK dan di tempat ketiga pada tahun 2013.​