BOLKIAH GARISON, Khamis 14 Julai 2016 – Bersempena dengan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke 70 tahun, Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) telah mengadakan Majlis Doa Kesyukuran bagi memohon berkat, rahmat, perlindungan dan pemeliharaan Allah Subhanahu Wa Ta’ala bagi kesejahteraan baginda dan Negara Brunei Darussalam.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Ketua Staf Angkatan Bersama ABDB, Kepten Yusof bin Masron, TLDB. Turut hadir ialah pegawai–pegawai kanan, pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Pertahanan dan ABDB.

Majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Sjn Haji Syasuandi bin Haji Abu Bakar dari Jabatan Agama ABDB. Majlis diteruskan lagi dengan Solat Fardhu Maghrib berjemaah, bacaan Surah Yaasin beserta tahlil dan doa khusus yang diketuai oleh Imam Suhif bin Abdullah, Imam Surau Kementerian Pertahanan, Bolkiah Garison. Majlis diakhiri dengan Solat Fardhu Isya berjemaah.

Majlis doa kesyukuran tersebut turut diadakan serentak di kesemua surau ABDB.