BOLKIAH GARISON, Selasa 21 Jun 2016 – Mes Pegawai Waran, Staf Sarjan dan Sarjan (PW, SSjn & Sjn) telah menganjurkan Majlis Bersungkai Bersama Mantan-Mantan FSM/RSM Bolkiah Garison. Majlis ini telah diadakan lewat petang tadi di Surau Kementerian Pertahanan, Bolkiah Garison. Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah PW1 Ahmad Bin Haji Abd Kadir, Sarjan Mejar Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.
Selain daripada berbuka puasa atau bersungkai bersama yang bertujuan untuk mempererat hubungan silaturahim dan ukhuwah institusi persahabatan Mantan-Mantan FSM/RSM, satu penyerahan derma kepada anak-anak yatim juga diadakan.
Majlis Berbuka Puasa dan Sumbangan Derma berkenaan merupakan antara aktiviti PW, SSjn & Sjn dan Mantan-Mantan FSM/RSM Bolkiah Garison bagi sama-sama menyemarakkan lagi bulan Ramadan.
Manakala itu, sumbangan berkenaan pula bertujuan untuk memeriahkan lagi Sambutan Hari Raya bagi anak-anak yatim.
Majlis dimulakan dengan bacaan Tahlil beramai-ramai, diikuti dengan penyampaian derma anak-anak yatim dan seterusnya Majlis Bersungkai. Acara disudahi dengan sembahyang Fardhu Maghrib berjemaah.
Turut hadir di majlis ini ialah Pegawai-Pegawai Waren dan Pegawai Tidak Bertauliah- Pegawai Tidak Bertauliah Kanan Bolkiah Garison.



