TANAH JAMBU, Rabu 1 Jun 2016 – Angkatan Bersenjata Diraja (ABDB) terus mengadakan hari terbuka sempena Sambutan Hari Ulang Tahun yang ke 55 tahun dengan persembahan arena dan pameran statik yang diadakan hari ini dengan mendapat sambutan meriah dan mengalakkan daripada orang ramai dan penuntut-penuntut sekolah.
Lebih 120 penuntut bersama guru mereka dari Pusat Tingkatan Enam Meragang, Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah dan Sekolah Menengah Arab Lelaki Hassanal Bolkiah berpeluang menyaksikan pelbagai kelengkapan dan keupayaan tentera daripada unit-unit ABDB dengan meninjau kelengkapan peralatan tentera yang dipamerkan dari Kementerian Pertahanan, Tentera Darat Diraja Brunei, Tentera Udara Diraja Brunei, Tentera Laut Diraja Brunei, Insititut Latihan ABDB dan Perkhidmatan Teknikal Diraja Brunei (RBTS).
Melalui pameran statik ini, para penuntut dapat mengambil peluang untuk lebih mengetahui bidang yang dapat diceburi di dalam ABDB.
Selain itu ‘Fun Fair’ dan bazar-bazar jualan juga disediakan dikawasan Sekolah Pegawai Kadet.
