TANAH JAMBU, Selasa 31 Mei 2016 – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Menteri Pertahanan dan Pemerintah Tertinggi Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) berkenan berangkat ke Auditorium Akademi Pertahanan ABDB bagi Majlis Ramah Mesra bersama Pegawai-Pegawai Tidak Bertauliah Kanan dan Rendah ABDB di Sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) ABDB Ke-55 Tahun.

Berangkat sama Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Jeneral Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, Jeneral ABDB. Juga berkenan berangkat ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia  dan Duli Yang Teramat Mulia berkenan bergambar ramai bersama Pegawai Tidak Betauliah (PTB) Kanan dan Pegawai Tidak Betauliah Rendah ABDB disusuli dengan menerima pesambah berupa sebuah model dunia yang dibuat daripada tembaga dan mempunyai kompas dunia yang terletak dibawahnya yang disembahkan oleh PTB Kanan ABDB.  

Ianya dinamakan ‘Brass Armillary Nautical Sphere Globes, World Sundail Compass’. Seterusnya Kebawah Duli Yang Maha Mulia  juga berkenan menerima pesambah yang disembahkan oleh PTB Rendah ABDB berupa sebuah Helmet Polo yang berjenama ‘Charles Owen’ daripada United Kingdom yangmana sukan polo adalah diantara sukan kegemaran Kebawah Duli Yang Maha Mulia.

Sebelum berangkat ke Maktab Turus Akademi Pertahanan ABDB, Kebawah Duli Yang Maha Mulia  dan Duli Yang Teramat Mulia berkenan untuk menerima junjung ziarah dari PTB Kanan dan Rendah ABDB dan menandatangani Lembaran Kenangan Keberangkatan.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia  dan Duli Yang Teramat Mulia dijunjung berangkat ke Maktab Turus Akademi Pertahanan ABDB dan berkenan menerima junjung ziarah dari pegawai-pegawai tentera dari pelbagai negara yang sedang mengikuti Kursus Maktab Turus di Akademi Pertahanan.

Di akhir lawatan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota  beserta Ahli-ahli Kerabat Diraja kemudian dijunjung berangkat ke Ceremonial Hall Akademi Pertahanan ABDB, bagi Majlis Santap dan Ramah Mesra bersama Pegawai-Pegawai ABDB dan   Mantan-mantan Pegawai ABDB.

Pada majlis ini juga, baginda berkenan memotong kek Sambutan HUT ABDB Ke-55 seterusnya berkenan menerima pesambah berupa Senjata Pistol yang disembahkan oleh para pegawai ABDB.

Sebelum Majlis Santap Tengah Hari bermula, Doa Kesyukuran dibacakan oleh Penolong Ketua Jabatan Agama ABDB (JA’MAAT), Mejar Ariffin bin Amit @ Hamid.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Duli Yang Teramat Mulia dijunjung untuk menerima junjung ziarah dari Pegawai-Pegawai ABDB dan Mantan-mantan Pegawai ABDB diikuti dengan menandatangani Lembaran Kenangan Keberangkatan.

Sebelum berangkat meninggalkan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka beserta Ahli-ahli Kerabat Diraja dijunjung bagi sesi   bergambar ramai bersama Ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif Pertahanan, Pemerintah-pemerintah Angkatan Tentera, Mantan-mantan Timbalan Menteri Pertahanan, Mantan  mantan Pemerintah ABDB, Pengarah-pengarah Awam dan Tentera serta Komandan-komandan.