TANAH JAMBU, Selasa 31 Mei 2016– Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Menteri Pertahanan dan Pemerintah Tertinggi Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) berkenan berangkat menyaksikan Pameran Statik di Markas Sekolah Pegawai Kadet, Akademi Pertahanan  ABDB di Sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) ABDB Ke-55 Tahun.

Berangkat sama Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Jeneral Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, Jeneral ABDB. Juga berkenan berangkat ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah.

Pada tahun ini, acara Pameran Statik mempamerkan konsep Gabungan Kemahiran Anggota-Anggota ABDB seperti kelengkapan dan keupayaan ketenteraan dari Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB), Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) dan Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB), disamping aktiviti-aktiviti ‘Funfair’ dan Bazaar. Antaranya ialah pameran kerjaya Pengambilan ABDB, Jabatanarah Keanggotaan, pameran Unit Inspektorat ABDB, Pusat Kaunseling ABDB, pameran Pusat Optima Kecergasan Tentera, Jabatan Agama ABDB (JAMA’AT), Askar Simpanan Melayu Diraja Brunei (ASMDB), Pasukan Kadet Tentera ABDB, dari Institut Latihan ABDB, Khidmat Perubatan dan Kesihatan, Kejuruteraan Darat, Khidmat Pergigian, Khidmat Bomba dan Keselamatan, Squadron Semboyan, Depoh Logistik dan Kenderaan Pasukan dan Unit Polis Tentera ABDB. Sesuai dengan tema, Pameran Statik mendedahkan tentang penglibatan ABDB selaku aset Diplomasi Pertahanan di arena antarabangsa. 

Sepanjang pameran ini orang ramai juga mengambil kesempatan untuk beramah mesra dan junjung ziarah bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia  dan Duli Yang Teramat Mulia.