TANAH JAMBU, Selasa 31 Mei 2016 – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Menteri Pertahanan dan Pemerintah Tertinggi Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) hari ini berkenan berangkat ke Sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) ABDB Ke-55 Tahun.

Sambutan HUT ABDB Ke-55 Tahun yang bertemakan ‘Generasi ABDB Berwawasan’ (Visionary RBAF Generation) merupakan penghayatan ABDB untuk mempertahankan momentum gagasan generasi berwawasan. Sepertimana yang telah digariskan dalam dasar membentuk generasi berwawasan, ABDB turut sama mendukung empat dasar utamanya iaitu mempunyai kesedaran diri, didikan, pendidikan dan penghayatan nilai. Kesemua dasar utama ini berkait rapat dengan Nilai-Nilai Teras ABDB untuk membentuk warganya kearah sama-sama merealisasikan wawasan negara.

Pada sambutan hari ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan memeriksa Pasukan-pasukan Perbarisan Raksasa dan seterunya menyaksikan persembahan kawad, persembahan arena, pameran statik, ‘fun fair’ dan bazaar yang disembahkan oleh unit-unit ABDB.




Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Padang Kawad, Akademi Pertahanan ABDB, Kampong Tanah Jambu dijunjung oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Awang Abdul Aziz bin Haji Mohd. Tamit dan Pemerintah ABDB, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Awang Mohd Tawih bin Abdullah.

Berangkat sama ialah paduka anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Jeneral Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Jeneral ABDB. Juga berkenan berangkat ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah.

Sejurus berangkat tiba, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menerima Tabik Hormat Diraja dan memeriksa Pasukan-Pasukan Perbarisan Raksasa serta Jentera / Aset ABDB. Seramai 1,055 orang anggota ABDB terdiri daripada Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB), Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB), Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB), Institut Latihan (IL) ABDB, Rejimen Pasukan Khas (RPK) ABDB dan Pasukan Askar Wanita di bawah Pemerintah Ketua Perbarisan, Leftenan Kolonel Haji Mohd Shahnonnizam bin Sulaiman.

Selepas Kebawah Duli Yang Maha Mulia memeriksa perbarisan, acara disusuli dengan perbarisan berjalan lalu dalam masa perlahan dan cepat oleh Pasukan-pasukan Perbarisan dengan Panji-panji Kebawah  Duli Yang Maha Mulia dan Panji-panji Pasukan ABDB diikuti perbarisan mara ke hadapan untuk diperhatikan semula.

Pada sambutan ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia  berkenan mengurniakan titah.

Laungan ‘Daulat Kebawah Duli Tuan Patik’ disembahkan ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia menyemarakkan lagi sambutan sekali gus gagasan semangat seluruh warga ABDB.

Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Mejar Ariffin bin Amit @ Hamid. Penolong Ketua Jabatan Agama  ABDB (JA’MAAT).

Kebawah Duli Yang Maha Mulia sekali lagi disembahkan dengan Tabik Hormat Diraja yang diikuti dengan terbang lalu pesawat-pesawat Tentera Udara Diraja Brunei.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Duli Yang Teramat Mulia serta Ahli-Ahli Kerabat Diraja kemudiannya berkenan menyaksikan Persembahan Arena di Padang Kawad, Akademi Pertahanan ABDB.