SERASA, Ahad 22 Mei 2016 – Kementerian Pertahanan muncul sebagai juara keseluruhan dan sekaligus menerima piala rebutan di Kejohanan Lumba Perahu Tradisional Kebangsaan Negara Brunei Darussalam kali Ke-23 yang telah diadakan di Kompleks Sukan Air Serasa, Bandar Seri Begawan.

Kejohanan Lumba Perahu ini dianjurkan oleh Persatuan Lumba Perahu Kebangsaan, Negara Brunei Darussalam (PERKEBAR) dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan.

Perlumbaan dibahagikan kepada 4 bahagian iaitu tempatan, jemputan swasta, antara kementerian dan wanita dengan kejauhan 800 meter bagi setiap perlumbaan. Sebanyak 14 perlumbaan telah dipertandingkan dan Kementerian Pertahanan telah ikut serta di dalam enam acara. Kejuaraan keseluruhan ini telah diperolehi setelah muncul sebagai juara di dalam lima acara pertandingan yang disertai berikut:

Perahu Tradisional (PT)

20 x Pekayuh Tempatan (Perahu Tradisi)

20 x Pekayuh Kementerian (Perahu Tradisi)   

30 x Pekayuh Tempatan (Perahu Tradisi)   

20 x Pekayuh Kementerian (Perahu Fiber)   

20 x Pekayuh Tempatan (Perahu Fiber)     

Sementara itu, Kementerian Pertahanan telah berjaya meraih naib juara bagi perlumbaan 10 x Pekayuh Kementerian (Perahu Fiber)    

Tetamu kehormat bagi acara perlumbaan dan sekaligus menyempurnakan hadiah kepada pemenang-pemenang ialah Dato Paduka Dr. Awang Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, Setiausaha Tetap, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.