BELAIT, Jumaat 29 Januari 2016 – Seorang anggota Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB), 50931 Sld Azrie bin Azman telah melafazkan dua kalimah syahadah dan ikrar pengakuan pengislamannya hari ini.
Majlis berlangsung di rumah kediaman ibu bapanya di Kampung Sungai Liang, Daerah Belait.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Brigedier Jeneral Pg Dato Seri Pahlawan Aminan bin Pg Haji Mahmud, Pemerintah Tentera Darat Diraja Brunei.
Turut hadir bagi menyerikan majlis ialah Pegawai Daerah Belait, Timbalan Pemerintah TDDB, Penghulu Mukim Sungai Liang, Pegawai-pegawai kanan ABDB, Pegawai-pegawai dari Pusat Da’wah Islamiah Daerah Belait dan keluarga.
Majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Qur’an dan diteruskan dengan lafaz syahadah dan ikrar pengislaman di hadapan Pegawai Pengislaman Pusat Da’wah Islamiah.
Laungan Dikir Marhaban, taburan bunga rampai serta penyampaian cenderahati telah disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis serta para jemputan yang hadir bagi memeriahkan lagi acara yang berkebajikan ini.
Bagi memberkati majlis, doa selamat dibacakan oleh Lt Narulismandy bin Haji Samaih, pegawai Tadbir Jabatan Agama ABDB.
Majlis Pengislaman ini merupakan kali ketiga bagi tahun ini dan yang ke 101 sejak tahun 2006. Ini menunjukkan bahawa cahaya dan syiar agama Islam semakin bersinar dan berkembang luas khususnya di kalangan warga ABDB.