بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيْم

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ اْلعَالَمِـيْنَ وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى سَيِّـدِنَا مُحَمَّـدِ أَشْرَفِ اْلأَنْبِـيَاءِ 

وَالْمُرْسَلِـيْنَ وَعَلَى ءَالِهِ وَصَحْـبِهِ أَجْـمَعِيْنَ


Segala puji dan syukur dipanjatkan ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta’ala kerana dengan izin dan limpah serta kurnia rahmatNya jua kita kini berada di bulan Syawal setelah selesai melaksanakan kewajipan ibadah Fardhu Puasa di bulan suci Ramadhan, bulan yang penuh keberkatan dan penuh rahmat.


Selawat serta salam ke atas junjungan besar kita Nabi dan Pemimpin Agung Nabi Muhammad S
allallahu Alaihi Wasallam, kaum kerabat, para pengikut-pengikut dan sahabat-sahabat Baginda yang begitu taat serta jujur hingga ke akhir zaman.


K
etibaan bulan Syawal merupakan peluang meraikan satu kemenangan bagi umat Islam setelah berjaya berjihad melawan cabaran dan ujian dalam menunaikan ibadah Fardhu Puasa Ramadhan dan merebut peluang menggandakan amal-amal ibadah di sepanjang bulan suci Ramadhan. Semoga semua amalan-amalan kita ini diterima Allah Subhanahu wa Ta’ala, dikurniakanNya pahala berlipat ganda, diampunkan segala dosa-dosa yang terdahulu dan seterusnya mendapat keredhaan dan kerahmatan. 

 

Alhamdulillah dengan rahmat dan petunjuk Allah Subhanahu wa Ta’ala jua, serta berkat daulat dan kepimpinan bijaksana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, penularan wabak COVID-19 gelombang ketiga di Negara Brunei Darussalam telah dapat dikawal dengan jumlah kes jangkitan harian COVID-19 kini terus menurun manakala kadar vaksinasi dan dos penggalak bagi rakyat dan penduduk juga terus meningkat. Alhamdulillah. 

 

Keadaan ini seterusnya mengizinkan kita untuk menyambut kedatangan Syawal dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran dengan terus mematuhi panduan dan arahan pihak-pihak berwajib. Justeru, adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk terus mengikuti langkah-langkah serta garis panduan, Prosedur Operasi Standard (SOP), protokol kesihatan dan peraturan-peraturan yang telah dikemasikinikan oleh pihak Kerajaan dalam sama-sama membendung penularan wabak COVID-19 di Negara Brunei Darussalam. 

             

Dalam kesempatan ini, saya berserta keluarga sukacita mengucapkan Selamat Menyambut dan Meraikan Hari Raya Aidilfitri 1443 Hijrah / 2022 Masihi, Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh warga Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei berserta keluarga dan tidak ketinggalan juga kepada  pegawai-pegawai dan anggota-anggota yang bertugas dan menjalani kursus di luar negara. Semoga bulan Syawal bulan kemenangan ini akan mengeratkan dan mengukuhkan lagi perpaduan ummah, ikatan silaturrahim dan ukhuwah persaudaraan dan persahabatan sesama, walau terpisah dari segi jarak dan masa.


Akhirnya, bersukutkan bulan kemenangan dan kebahagiaan ini, bersama kita menadah tangan berdoa ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta’ala memohon dikurniakanNya taufik dan hidayah, kesejahteraan dan keafiatan, dijauhkan dari segala macam musibah, diangkat dan seterusnya dilenyapkan wabak khususnya COVID-19 di negara tercinta kita, Negara Brunei Darussalam khasnya dan muka bumi ini amnya. Insya Allah kita akan diberikan kesempatan untuk dipertemukan lagi dengan Ramadhan dan Syawal yang akan datang.  Aamiin Ya Rabbal Alamiin.

Semoga Allah Subhanahu wa Ta’ala menerima ibadah puasa yang baru kita laksanakan

Sekian.

وَبِاللهِ التَّوْفِيْقُ وَالْهِدَايَةَ، وَالسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ