BOLKIAH GARISON, Isnin 18 Januari 2016 – Kementerian Pertahanan telah mengadakan majlis penyampaian sijil di Dewan Wira Seni, Bangunan Pancaragam ABDB bagi 87 orang pesara warga Perkhidmatan Awam Kementerian Pertahanan yang terdiri daripada 38 orang lelaki dan 48 wanita pada Majlis Meraikan Pesara-Pesara dan Penyerahan Sijil-Sijil Perkhidmatan bagi Pesara-Pesara Kementerian Pertahanan 1 Oktober 2014 hingga 31 Disember 2015.

Tetamu kehormat majlis ialah Yang Mulia Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abd Aziz bin Haji Mohd Tamit, Timbalan Menteri Pertahanan. Turut hadir ialah Ahli-Ahli Eksekutif Pertahanan, Pemerintah-Pemerintah Tentera, Komandan, Pengarah-Pengarah, Pegawai-Pegawai dan Kakitangan Kementerian Pertahanan serta ahli keluarga para penerima sijil.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai diketuai oleh Ustaz Ruslan bin Hj Sulaiman, Pegawai Ugama Kanan Kementerian Pertahanan dan seterusnya diserikan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Ustaz Haji Rosli bin Hj Batang dan diterjemahkan oleh Ustaz Haji Ariffin bin Tuah daripada Bahagian Ugama, Jabatanarah Pentadbiran dan Tenaga Manusia.

Seterusnya, Pengerusi Majlis Yang Mulia Awang Nor Aidil bin Haji Abu Bakar, Pemangku Pengarah Jabatanarah Pentadbiran dan Tenaga Manusia Kementerian Pertahanan menyampaikan ucapan alu-aluan.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan ucaptama disampaikan oleh tetamu kehormat, Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abd Aziz bin Haji Mohd Tamit, Timbalan Menteri Pertahanan dimana beliau menyatakan,
“Apa yang diharapkan adalah agar para pesara akan terus memberi sumbangan kepada negara dengan melibatkan diri sebagai penyumbang idea serta tenaga kepimpinan bagi memperkasa aktiviti-aktiviti yang berkebajikan seperti yang dianjurkan oleh Majlis Perundingan Kampung atau badan-badan Sukarelawan bukan kerajaan iaitu NGO tempatan yang semakin meningkat peranan serta kepentingannya kerana masyarakat sudah tidak boleh lagi bergantung sepenuhnya kepada kerajaan semata-mata.”

Timbalan Menteri Pertahanan kemudiannya menyampaikan sijil kepada para pesara. Di antara yang menerima sijil perkhidmatan pada majlis ini ialah Mantan Setiausaha Tetap (Dasar Pertahanan dan Pembangunan) Kolonel (B) Pg Dato Paduka Hj Azmansham bin Pg Haji Mohamad dan juga Datin Paduka Hajah Suriyah binti Haji Umar, Setiausaha Tetap Kementerian Pertahanan.

Dalam acara yang sama juga diselajurkan dengan Majlis Penyampaian sijil dan cenderahati Anugerah Pekerja Cemerlang Kementerian Pertahanan Tahun 2015 bagi seorang pegawai dan dua orang kakitangan Perkhidmatan Awam Kementerian Pertahanan dari Divisyen III, IV dan V.

Majlis ini diadakan adalah bagi mengenang jasa dan memberi penghargaan kepada semua pegawai dan kakitangan Kementerian Pertahanan yang telah bersara di atas sumbangan dan bakti yang telah mereka curahkan selama bertugas di kementerian ini. Ianya jua bertujuan untuk mengekalkan hubungan persahabatan dan kekeluargaan diantara pegawai dan kakitangan yang masing berkhidmat dan yang sudah bersara.