BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 7 Mei 2016 – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mengurniakan Pingat-Pingat Kehormatan Negara Brunei Darussalam kepada 636 penerima yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan kerajaan serta sektor swasta sempena Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Ke-68 Tahun.
Istiadat pengurniaan pingat berlangsung di Balai Singgahsana Indera Kencana, Istana Nurul Iman.
Berangkat mengurniakan Pingat-Pingat Kehormatan Negara, selaku Wakil Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Berangkat sama ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah.
Mendahului pengurniaan pingat-pingat ialah Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K) dikurniakan dan diterima oleh 84 penerima.
Para penerima terdiri daripada 34 pegawai dan kakitangan JPM sementara 50 pegawai dan kakitangan pula dari Kementerian Pertahanan.
Duli Yang Teramat Mulia seterusnya berkenan mengurniakan Pingat Indah Kerja Baik (P.I.K.B) kepada 552 pegawai dan kakitangan kerajaan serta sektor swasta terdiri daripada 120 penerima dari JPM; 128 dari Kementerian Pertahanan; 16 dari Kementerian Kewangan; 30 dari Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan; 154 dari Kementerian Pendidikan; 21 dari Kementerian Perhubungan; 24 dari Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, manakala 59 lagi penerima dari sektor swasta.
Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.
Juga hadir ialah Yang Amat Mulia Pengiran-Pengiran Cheteria; Menteri-Menteri Kabinet; Ahli-ahli Majlis Mesyuarat; Timbalan-Timbalan Menteri; Pengiran-Pengiran Peranakan; Pehin-Pehin Manteri; Manteri-Manteri Pendalaman; Pesuruhjaya-Pesuruhjaya Tinggi; Duta-Duta Besar; Setiausaha-Setiausaha Tetap; ketua-ketua jabatan; pegawai-pegawai kanan kerajaan, Penghulu-penghulu Mukim serta Ketua-ketua Kampung.

