Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Skip Navigation LinksNews Headline

UCAPAN DARIPADA BRIGEDIER JENERAL (U) DATO SERI PAHLAWAN MOHAMMAD SHARIF BIN DATO PADUKA HAJI IBRAHIM PEMERINTAH TENTERA UDARA DIRAJA BRUNEI SEMPENA MENYAMBUT HARI RAYA AIDILFITRI 1445H/2024M

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

الحَمْدُ لله رَبِّ العَالَمِيْنَ وَالصَّـلَاةُ وَالسَّـلَامُ عَلى أَشْـرَفِ الأَنْبِيَـاءِ وَالمُرْسَلِيْـنَ وَعَلٰى اٰلِهٖ وَصَحْبِهٖ اَجْمَعِيْنَ

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan izin dan kurniaNya jua kita berpeluang untuk menyambut kedatangan Hari Raya Aidilfitri 1445H/2024M, hari kemenangan bagi setiap umat Islam yang harus disambut dengan penuh kesyukuran.

Semoga kita semua termasuk orang-orang yang sentiasa bersyukur dan diterima amalan kita di sepanjang bulan Ramadhan lepas. Sekarang, kita semua dapat merasa kemeriahan kedatangan bulan Syawal dan sambutan Hari Raya Aidilfitri seperti tahun-tahun sebelumnya. Tentera Udara Diraja Brunei juga tidak lekang dengan aktiviti-aktiviti yang mendekatkan diri kita dengan Allah Subhanahu Wata'ala melalui aktiviti-aktiviti yang berbentuk keugamaan dan kerohanian di Surau Al-Barakah, Masjid-masjid terpilih, Tanah Perkuburan dan Kubah Makam Diraja serta bagi anak-anak yatim dan anak-anak istimewa TUDB.

Di dalam kita sama-sama menyambut keriangan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini, janganlah kita lupa untuk menjaga keselamatan semasa menziarahi keluarga, sanak saudara dan rakan taulan. Peramba/saya ingin mengingatkan kepada semua warga Tentera Udara Diraja Brunei untuk sentiasa menjaga kesejahteraan diri sebagai seorang tentera; berhati-hati di jalan raya dan sentiasa memberi keutamaan kepada keselamatan.

Di hari yang mulia ini, peramba/saya berserta keluarga sukacita ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri 1445H, Maaf Zahir dan Batin kepada semua pegawai, anggota dan seluruh warga Tentera Udara Diraja Brunei berserta keluarga, termasuk pegawai-pegawai dan anggota-anggota Tentera Udara Diraja Brunei yang berada di perantauan; menjalankan tugas sebagai Penasihat/Atase Pertahanan, menjalani kursus, melaksanakan misi Independent Decommissioning Body Verification, Monitoring and Assistance Team (IDB VMAT) di Republik Filipina dan Misi Pengaman di United Nation Interim Force in Lebanon (UNIFIL). Tidak lupa juga kepada anggota-anggota yang bertugas semasa Sambutan Hari Raya Aidilfitri ini, semoga amanah yang biskita semua jalankan dibalas dengan sebaik-baik ganjaran daripadaNya.

Semoga bulan Syawal pada tahun ini memberikan seribu makna dan keinsafan kepada kita semua dan semoga diberikan lagi kesempatan untuk merasai nikmatnya Ramadhan dan riangnya Syawal pada tahun hadapan.

آمِيْن يَا رَبَّ العَالَمِيْنَ

وَبِاللهِ التَّوْفِيْقُ والهِدَايَةُ وَ السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ​