Berakas Garison. Jumaat, 9 September 2016 - Cawangan No 2 mengadakan Upacara Perbarisan Statik pada pagi ini bersempena dengan Sambutan Hari Ulang Tahun Cawangan No 2, Tentera Udara Diraja Brunei yang ke 33 tahun sejak penubuhannya 1 September 1983. Upacara Perbarisan diadakan di Hangar Skuadron 238 yang terdiri daripada anggota-anggota daripada Skuadron 233, Skuadron 236, Skuadron 238, Terup Kejuruteraan dan Markas Cawangan No 2.
Turut hadir menyaksikan perbarisan adalah Pegawai-Pegawai Memerintah, Pegawai-Pegawai Cawangan No 2, Pegawai jemputan yang pernah berkhidmat di bawah Cawangan No 2 dan Pegawai-Pegawai Kadet Pengambilan ke-15 dari Sekolah Pegawai Kadet.
Perbarisan dimulakan dengan kehadiran Tetamu Kehormat iaitu Pegawai Pemerintah Cawangan No 2, Mejar (U) Peter bin Ulat @ Yulat. Majlis dimulakan dengan pemeriksaan barisan oleh Tetamu Kehormat yang diiringi oleh Pengerusi majlis iaitu Kapten (U) Ak Md Shahri bin Pg Hj Shamsudin dan diteruskan dengan ucapan daripada Tetamu Kehormat.
Diantara ucapan Tetamu Kehormat, beliau menekankan kepentingan kesiapsiagan, keselamatan dan kewaspadaan dalam menjalankan tugasan serta mengikut prosedur-prosedur yang telah ditetapkan di dalam Hukuman Tetap dan Standard Operating Procedure (SOP). Beliau juga menekankan kepentingan menjaga aspek disiplin dan integriti dalam menjaga imej Cawangan No 2.
Bagi memberkati Upacara Perbarisan, doa selamat dibacakan oleh Guru Ugama Tentera Udara Diraja Brunei, Ustaz Hj Othman bin Md Noor. Perbarisan ini telah melibatkan seramai 150 anggota dari Cawangan No 2.