Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News Headlines

UCAPAN DARIPADA BRIGEDIER JENERAL (U) DATO SERI PAHLAWAN MOHAMMAD SHARIF BIN DATO PADUKA HAJI IBRAHIM PEMERINTAH TENTERA UDARA DIRAJA BRUNEI SEMPENA MENYAMBUT HARI RAYA AIDILFITRI 1443H/2022M



السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

الحَمْدُ لله رَبِّ العَالَمِيْنَ وَالصَّـلَاةُ وَالسَّـلَامُ عَلى أَشْـرَفِ الأَنْبِيَـاءِ وَالمُرْسَلِيْـنَ وَعَلٰى اٰلِهٖ وَصَحْبِهٖ اَجْمَعِيْنَ


Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan izin dan kurniaNya jua kita berpeluang untuk menyambut kedatangan Hari Raya Aidilfitri 1443H/2022M, hari kemenangan bagi setiap umat Islam yang patut disambut dengan penuh kesyukuran.

Alhamdulillah, walaupun masih berhadapan dengan penularan COVID19, Ramadhan pada tahun ini masih dapat kita laksanakan di dalam suasana yang bersederhana. Ia masih tidak menghalang kita untuk mengikuti dan melaksanakan aktiviti-aktiviti yang berbentuk keugamaan dan kerohanian, terutama sekali di Tentera Udara Diraja Brunei. Surau Al-Baraqah sentiasa diisi dengan aktiviti-aktiviti yang mendekatkan diri kita dengan Allah Subhanahu Wata'ala. Pada siang hari, surau berkenaan diisi dengan pegawai, anggota, kakitangan Tentera Udara Diraja Brunei dan awam yang khusyuk mendengarkan dan mengamati bait-bait kuliah-kuliah Zuhur, manakala malam-malam Ramadhan sentiasa meriah dengan sembahyang sunat Tarawih, tadarus, Qiamulail serta acara-acara yang berbentuk kemasyarakatan seperti Majlis Meraikan Anak-Anak Yatim. Marilah kita bersama-sama menadah tangan semoga segala amalan dan ibadah yang kita raih di bulan yang penuh pengampunan tersebut diterima oleh Allah Subhanahu Wata'ala.Di dalam kita sama-sama menyambut riangnya Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini, janganlah kita lupa kepada tanggungjawab kita dalam mematuhi arahan, panduan serta nasihat daripada Kementerian Kesihatan dengan mengutamakan pelaksanaan penjarakkan sosial dan fizikal semasa kita ziarah menziarahi keluarga, sanak saudara dan rakan taulan. Peramba/saya juga ingin mengingatkan kepada semua warga Tentera Udara Diraja Brunei untuk sentiasa menjaga kesejahteraan diri sebagai seorang tentera; berhati-hati di jalan raya dan sentiasa memberi keutamaan kepada keselamatan.

Di hari yang mulia ini, peramba/saya beserta keluarga sukacita ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri 1443H, Maaf Zahir dan Batin kepada semua pegawai, anggota dan kakitangan Tentera Udara Diraja Brunei beserta keluarga, termasuklah kepada pegawai-pegawai dan anggota-anggota Tentera Udara Diraja Brunei yang berada di perantauan; menjalankan tugas sebagai Penasihat/Atase Pertahanan, menjalani kursus di Australia dan Amerika Syarikat, melaksanakan misi Pasukan Pemantau Antarabangsa (IMT) dan Independent Decommissioning Body Verification, Monitoring and Assistance Team (IDB VMAT) di Republik Filipina dan Misi Pengaman di United Nation Interim Force in Lebanon (UNIFIL). Tidak lupa juga kepada anggota-anggota yang bertugas semasa Sambutan Hari Raya Aidilfitri ini, semoga amanah yang biskita semua jalankan dibalas dengan sebaik-baik ganjaran daripadaNya.Semoga bulan Syawal pada tahun ini memberikan seribu makna dan keinsafan kepada kita semua dan semoga diberikan lagi kesempatan untuk merasai nikmatnya Ramadhan dan riangnya Syawal pada tahun hadapan.

آمِيْن يَا رَبَّ العَالَمِيْنَ

وَبِاللهِ التَّوْفِيْقُ والهِدَايَةُ وَ السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ