Skip Ribbon Commands
Skip to main content
KECEMERLANGAN DYTM RAIH BERET HIJAU, TAMATKAN AACC

LONDON, UNITED KINGDOM, Khamis, 2 Disember. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, petang ini, berkenan berangkat bagi menghadiri Majlis Tamat Latihan Kursus All Arms Commando (AACC) dan Penyampaian Beret Hijau bagi Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri 920 Mejar (U) Pengiran Muda 'Abdul Mateen ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, yang berlangsung di Commando Training Centre Royal Marines (CTCRM), Lympstone, Devon, United Kingdom.

 

Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah anakanda baginda, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri 'Azemah Ni'matul Bolkiah.

 

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Bangunan Mes Pegawai CTCRM disambut dengan Tabik Hormat Diraja (Royal Salute), yang disembahkan oleh anggota Guard of Honour King's Squad dan Buglar Royal Marines Band.

 

Baginda, kemudiannya dijunjung oleh Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri 920 Mejar (U) Pengiran Muda 'Abdul Mateen bersama Vice Lord Lieutenant of Devon, Lady Arran; Commandant CTCRM, Colonel Simon Chapman OBE; Commandant General of the Royal Marines, Brigadier Graeme Jock Fraser; dan Regimental Sergeant Major (RSM), W01 Billy Meldrum.

 

Kebawah DYMM, seterusnya beredar ke Achnacarry Room, Mes Pegawai CTCRM bagi menerima sembah taklimat daripada Colonel Simon Chapman OBE, yang antara lainnya menerangkan mengenai latar belakang CTCRM dan AACC, yang disertai oleh DYTM Paduka Seri 920 Mejar (U) Pengiran Muda 'Abdul Mateen.

 

Baginda kemudiannya dijunjung berangkat ke The Eastney Room bagi Majlis Santap Tengah Hari.

 

Kebawah DYMM, seterusnya berangkat ke bangunan Modern Urban Combat (MUC), di mana baginda menyaksikan latihan ketenteraan kepakaran komando, yang merangkumi Close Quarter Battle (CQB), Method of Entry (MOE) dan Urban Climbing.

 

Selesai pertunjukan latihan ketenteraan berkenaan, Kebawah DYMM berangkat ke The Falklands Hall bagi menghadiri Majlis Tamat Latihan Kursus AACC juga Penyampaian Beret Hijau, di mana baginda dijunjung selaku tetamu kehormat untuk menyampaikan Beret Hijau kepada 46 anggota peserta AACC, yang berjaya menamatkan kursus berkenaan, termasuk DYTM Paduka Seri 920 Mejar (U) Pengiran Muda 'Abdul Mateen.

 

Pada akhir majlis, Kebawah DYMM berkenan bergambar ramai bersama para peserta AACC, jurulatih dan anggota CTCRM.

 

DYTM Paduka Seri 920 Mejar (U) Pengiran Muda 'Abdul Mateen menjalani AACC kendalian Royal Marines, di CTCRM, Lympstone, Devon selama 13 minggu, bermula, pada 20 September dan berakhir, pada 2 Disember 2021.

 

CTCRM merupakan pusat latihan utama bagi Royal Marines dan adalah sebuah pusat latihan unik, yang memilih dan melatih semua Pegawai Royal Marines, rekrut dan askar simpanan juga menyediakan semua latihan bagi Pegawai Belum Ditauliah (Non-Commissioned Officer) dan Pakar-pakar Royal Marines.

Petikan dari Pelita Brunei
4/12/2021


















Attachments