Majlis Pengislaman Sld (U) Martino bin Prait
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat 8 Jun 2012 - Majlis pengislaman bagi 16238 Sld (U) Martino bin Prait, salah seorang anggota Kejuruteraan No.1 Skuadron, Cawangan Logistik, Tentera Udara Diraja Brunei, telah berlangsung di No.22 Spg 23 Kg Mulaut, Jalan Tanjung Nangka Negara Brunei Darussalam. Beliau melafazkan pengakuan masuk islam dihadapan pegawai-pegawai dari Pusat Dakwah Islamiyah, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan memilih nama islamnya sebagai Martino bin Prait.
Lafaz Dua Kalimah Syahadat disaksikan oleh para hadirin diantaranya Mejar General Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei. Sjn Mejar Md Hasnan bin Abdullah selaku tuan rumah serta para Pegawai Kanan, Pegawai-pegawai ABDB & Pusat Dakwah Islamiyah serta keluarga dan sahabat handai hadir sama ke majlis yang berkebajikan tersebut.
Majlis Pengislaman dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran, ikrar pengakuan masuk Islam, Zikir Marhaban serta bacaan doa selamat oleh Ustaz Haji Abd Aziz bin Haji Abd Kahar, Ketua Bahagian Pengislaman & Pemeliharaan Muallaf, Pusat Dakwah Islamiyah.
Majlis yang diungkayahkan bersama oleh Jabatan Pusat Dakwah Islamiyyah dan ABDB serta keluarga anggota yang diraikan dianggap sebagai satu lagi usaha murni silaturrahim pada meningkatkan syiar agama Islam di kalangan warga ABDB dan menarik minat pegawai-pegawai serta anggota-anggota ABDB khususnya serta masyarakat negara ini amnya yang belum memeluk agama Islam untuk memilih Islam sebagai agama anutan dan landasan serta panduan hidup yang sempurna.









