Pertandingan Berpidato Peringkat ABDB Sempena Sambutan HUT ABDB ke 51
BERAKAS GARISON, Jumaat 8 Jun 2012 - Buat julung kalinya pada tahun ini, Pertandingan Berpidato diadakan sebagai salah satu acara sambutan HUT ABDB ke-51 bertempat di Dewan Pahlawan, Berakas Garison. Pertandingan ini akan dijadikan sebahagian daripada kegiatan tahunan sambutan HUT ABDB yang akan datang. Ianya dibukakan kepada semua peringkat anggota tentera dan tenaga awam ABDB dan Kementerian Pertahanan.
Pertandingan ini dikendalikan oleh ahli-ahli jawatan kuasa yang dilantik dibawah penyelarasan Institut Latihan ABDB. Pertandingan Berpidato adalah sebagai salah satu acara keagamaan dan ketenteraan disamping itu pertandingan ini juga bertujuan untuk:
a. Mendidik, mengasuh dan mencungkil bakat warga ABDB dan Kementerian Pertahanan supaya berani tampil berhujah dikhalayak ramai.
b. Memberi kesedaran dan keyakinan warga ABDB dan Kementerian Pertahanan supaya lebih komited dalam menghayati aspek keagamaan, patriotisme dan ketenteraan dalam konteks tema sambutan perayaan.
c. Mengembangkan minda dan daya fikir warga ABDB dan Kementerian Pertahanan melalui pertandingan berpidato.
“Mempertahankan Negaraku Brunei Darussalam” adalah tema sambutan perayaan HUT ABDB ke-51. Berlandaskan kepada tema tersebut, Pertandingan Berpidato (2012) mengambil faktor keugamaan, patriotisme dan ketenteraan sebagai landasan (dasar) kepada pemilihan tajuk pidato. Antara tajuk yang sudah dipilih untuk dipertandingkan adalah seperti berikut;
a. Mempertahankan Negaraku Brunei Darussaalam.
b. MIB, Amalan Hidup Kita
c. Keluargaku, Harapan ku.
d. Keluarga Bahagia Teras Kemakmuran Negara.
e. Amar Ma’ruf Nahi Munkar.
f. Sepakat Membawa Berkat.
g. Bersatu Kita Teguh.
Pertandingan Berpidato 2012 dibahagikan kepada dua bahagian iaitu lelaki dan perempuan. Setiap bahagian dibahagikan kepada dua kategori iaitu Pegawai dan Lain-Lain Peringkat. Sejumlah 30 orang peserta telah mendaftarkan diri untuk ikut serta dalam pertandingan kali pertama ini dan mendapat sambutan diluar jangkaan.
Keputusan Bahagian Lelaki, Kategori Pegawai, tempat pertama ialah Lt Abdul Mujib bin Japar(TDDB), tempat kedua Pegawai Kadet Mohd Ayza Azrine bin Ayahani(Akademi Pertahanan ABDB) dan tempat ketiga Kapten Mohd Khairul Hadizam bin Haji Osman(Kementerian Pertahanan). Manakala Bahagian Lelaki Lain-Lain Peringkat, tempat pertama ialah Sjn Mohd Saiful Rizal bin Mohd Ali(IL ABDB), tempat kedua LKpl Zulhilmi bin Emran(Kementerian Pertahanan) dan tempat ketiga PW2 Mohd Hamdris bin Haji Tuah(TUDB).Tetamu kehormat majlis dan menyampaikan hadiah-hadiah ialah Kolonel Pengiran Zulkifli bin Pengiran Haji Ismail, Komandan Institut Latihan ABDB.
Manakala, keputusan bagi Bahagian Perempuan Kategori Pegawai, tempat pertama Kapten Dk Nur Izzah Nazurah bte Pg Mohd(IL ABDB), tempat kedua ialah Lt Nida Ul Aqilah bte Mat Yassin(Kementerian Pertahanan) dan tempat ketiga Pegawai Kadet Fahzileana Amey bte Ahmad@Eswan(Akademi Pertahanan ABDB). Manakala Bahagian Perempuan Lain-Lain Peringkat, tempat pertama ialah Sld Nurul Jannah bte Anuar(TLDB), tempat kedua Sjn Siti Salawati bte Awang Suhaimi(IL ABDB) dan tempat ketiga LKpl Siti Mahirah bte Haji Budin(Kementerian Pertahanan).Tetamu kehormat majlis dan menyampaikan hadiah-hadiah bagi bahagian wanita ialah Leftenan Kolonel Hajjah Hashimah bte Haji Abu Bakar, Timbalan Komandan Akademi Pertahanan ABDB.




Photos by Hj Zaini Ajong









